
Assalamualaikum warahmatullah wbt,
Buat Ayahanda yang kini berada di Kampung Tendong, Pasir Mas Kelantan, anakanda berdoa semoga ayahanda sentiasa berada di dalam lingkungan nikmat Allah swt dan sihat walafiat hendaknya. Anakanda kini jua masih diberikan rezeki oleh Allah swt dalam keadaan yang serupa.
Ayahanda,
Dalam pada anakanda mengharungi cabaran hidup seharian, terlintas ilham dibenak anakanda untuk mencoret warkah ini buat ayahanda. Seperti mana yang Ayahanda fahami, rencam rencah di kotaraya hari ini tidaklah seperti mana dahulu. Sebagai salah seorang ahli daripada warga kosmopolitan ini, Anakanda hanya mampu untuk menyusur arus hidup yang deras di samping mengelakkan hujung batu-batu tajam yang masih utuh di dasar jeram yang cuba melukakan kaki minda yang tercecah dalam liku aliran ini. Sekali-sekala pijakan Anakanda terpaksa berlabuh di hujung pangkal batu, lalu hati kecil Anakanda terpaksa memujuk lidah Anakanda supaya tidak cepat mengaduh dan membentak kerana jauh lagi perjalanan yang Anakanda terpaksa tempuh, selagi ada keizinan Allah S.W.T.
Ayahanda,
Anakanda masih ingat antara cebisan warisan Ayahanda mengenai Aqidah. Ayahanda sentiasa menegaskan bahawa Aqidah bukan satu konsep. Ia juga bukan satu perkara yang boleh dipersenda. Walaupun lemah badan kita, walaupun kecil kerangka empat kerat kita,walau hanya dianggap sebatang lidi yang mampu dipatahkan, namun ia bukan bahan gurauan atau bidalan. Ia adalah pegangan yang Maha Suci dari apa jua tanggapan, bidalan dan perumpamaan.
Ayahanda laburkan pendapatan Ayahanda yang tidak seberapa, kepada buku-buku mengenai Aqidah, tafsir-tafsir al-Quran, dan mengenai ketuhanan yang sememangnya Anakanda tidak faham akan konteks perbincangan yang tulus dan kudus pada masa itu. Namun Ayahanda tetap memaksa Anakanda mengkhatamkan setiap jilid yang dibeli, dengan alasan, “Satu hari kau akan tahu sendiri.”
Jiwa Anakanda yang jahil, langsung tidak mengerti maksud kata-kata, paksaan dan perintah Ayahanda pada masa itu. Anakanda terpaksa tekun membaca dengan tangis hiba dan janggal sedangkan rakan-rakan Anakanda yang lain masih sibuk mengagungkan watak fantasi Jepun dan Amerika Syarikat seperti Ultraman, Space Cop Gaban dan Superman. Anakanda tahu benar yang Ayahanda tidak menyekat Anakanda turut sama mengikuti ‘perkembangan semasa’, cuma hanya apabila Ayahanda menyatakan “boleh tengok jika dan hanya jika, buku-buku itu dibuktikan habis terbaca sebelum apa-apa pun….” menyebabkan persaan suram dan kelam kepada Anakanda. Jadi, hati ini sedikit memberontak ke atas keputusan itu. Maafkan Anakanda. Namun itulah perkara yang ada dan hanya ada dalam ruang lingkup dunia Anakanda sebelum masa berlalu….
Ayahanda,
Itu waktu dahulu. Tahukah Ayahanda, bahawa cetusan telahan dan bidalan yang Ayahanda ujarkan pada Anakanda dahulu telah menjadi kenyataan? Warisan kasih mesra Ayahanda mengenai akhlak dan aqidah masih segar dibenak Anakanda. Ayahanda kata, satu hari nanti, ramai orang akan mempersendakan agama. Ayahanda kata seribu tiga ratus tahun dahulu Nabi besar Muhammad S.A.W telah bersabda iaitu di akhir zaman, apabila hari Kiamat makin hampir terdapat tanda-tanda di mana ramai orang yang tidak arif tentang Agama mereka sendiri berleluasa dan terang-terangan menyampaikan ‘Khutbah’!
Sememangnya tidak logik telahan Ayahanda! Hati Anakanda hampir membangkang, tapi itu adalah Sabda Nabi.. dan sememangnya ia telah berlaku. Hari ini, ramai orang yang tidak arif tentang agama mereka sendiri terang-terangan mempengaruhi orang lain akan kefahaman yang mereka ‘anuti’. Walau salah, walau tidak tepat. Antara syariat dan syiar, kerana kepentingan masing-masing jadi terbalik. Antara hikmah dan perintah, mana satu keutamaan tidak lagi dipedulikan. Sesungguhnya ia agak memeningkan.
Ayahanda,
Hati Anakanda semakin pilu mengenangkan situasi ini terjadi. Lebih-lebih lagi pemahaman yang cetek tanpa nas dan dalil yang Naqli dijadikan pegangan. Al-Quran dan Hadis seolah-olah dipinggirkan. Ramai rakan-rakan Anakanda yang terjebak dengan pegangan ini. Apa yang logik difikiran, yang memenuhi kehendak hati, menyokong nafsu diri dijadikan hujah. Tiada lagi kajian mendalam mengenai rawi, sanad dan kekuatan sesuatu kejadian. Bukan sahaja tidak merujuk sama ada riwayat itu Dha’if atau Mau’dhu’, malah Asbabun Nuzul jua tidak diendahkan. Segalanya terserlah. Benarlah bak kata Ayahanda, iaitu “jika tidak bergantung kepada Al-Quran dan Hadis, kepada apa lagi yang kita nak pertaruhkan?”
Ayahanda,
Anakanda amat berharap supaya perkara-perkara ini tidak berlaku pada waktu Anakanda masih wujud di dunia ini memandangkan Anakanda terasa sesal dengan diri Anakanda yang tidak mampu untuk melakukan apa-apa. Anakanda tahu bahawa mereka yang berhujah itu mempunyai maksud baik. Mungkin niat untuk mengekalkan keharmonian, menyuntik semangat kekitaan dan apa sahaja di atas nama bangsa dan negara. Tapi cuma, Anakanda bimbang generasi Cucunda nanti akan lebih hiruk pikuk kerana berbalah sesama sendiri mengenai hak dan hakikat. Anakanda berdoa semoga Allah swt mengurniakan taufiq dan hidayah kepada Anakanda dan kita sekeluarga. Itulah yang pasti. Walaupun ia pasti akan berlalu, namun Anakanda yakin ia telah meninggalkan parut yang dalam terhadap diri Anakanda dalam mengenal pasti apa erti menuju jalan Abadi kelak….
Akhir kata, sambutlah salam sayang dan rindu dari Anakanda di perantauan..
Sekian.
Anakandamu tersayang,
by dian
25 comments
link to this post email a friend