Dalam Wayang Kulit Kelantan atau Wayang Siam, babak yang paling jarang dipersembahkan (atau mungkin tidak dipersembahkan lagi) adalah Babak Dalang Muda. Ini kerana, pada masa kini, Wayang Kulit Kelantan tidak lagi dimainkan mengikut cerita pokok atau berdasarkan epik asal Hikayat Seri Rama. Selain itu faktor utama ia tidak dimainkan adalah kerana tidak ramai Dalang yang boleh memainkan babak ini kerana ia agak sukar untuk dikuasai tanpa tunjuk ajar guru-guru yang mahir. Akhir sekali adalah kerana tiada lagi permintaan untuk memainkan Babak Dalang Muda yang lengkap kerana keseluruhan babak mengambil masa yang agak lama sedangkan persembahan Wayang Kulit Kelantan rata-rata dimainkan untuk mengisi majlis-majlis yang tertentu sahaja mengikut kehendak penganjur.
Menerusi tulisan *Adiguru Che Mat Jusoh dalam Majalah Pentas Jil.3 (1 Jan-Mac 2008) keluaran Istana Budaya, menceritakan dengan terperinci mengenai Babak Dalang Muda ini yang mana setiap dalang yang ingin menguasai babak ini haruslah menguasai ilmu-ilmu asas pendalangan seperti Tari, Antawacana, Titik Takta Adat, Muzik, Nyanyian, Asas Pergerakan Wayang (Sabetan) dan aturan lagu-lagu khusus seperti Lagu Maharishi, Lagu Menyembah, Lagu Mahbabusanam, Serama keluar dan lain-lain lagi.

(c) Sepasang Dewa Panah dan Maharisi sedang bertapa di bawah Pohon Beringin. Dianais.com (Koleksi Dalang Pak Nasir ASWARA)
Antara adengan utama dalam Babak Dalang Muda adalah babak peperangan antara sepasang Dewa Panah. Sepasang Dewa Panah ini diletakkan di kiri dan kanan sambil seorang Maharisi berada ditengah-tengah, menggambarkan sedang bertapa (lihat Foto). Adengan ini dimainkan tanpa dialog mengikut aturan tertentu selepas lagu Bertabuh, Lagu Maharisi dan Dewa Panah Turun disertakan dengan Mantera Maharisi. Semasa peperangan antara sepasang Dewa Panah ‘sakat’ lagu akan berubah daripada paluan lagu perang kepada lagu Hulubalang dengan isyarat-isyarat tertentu oleh Dalang.
Sebenarnya adengan ini adalah terjemahan kepada sebuah cerita ranting dalam Hikayat Seri Rama. Mengikut cerita, sepasang Dewa Panah tersebut adalah berasal daripada sepasang burung jerijit yang telah bertukar rupa kepada Dewa Panah.
Maka, pintas tanjung mengambilkan rantau, jalan jauh kita perdekatkan…
Baru-baru ini ambo berpeluang hadir ke satu sesi bicara Wayang Kulit di Kuala Lumpur. Dalam sesi bicara tersebut seorang penceramah jemputan telah berceramah mengenai asal-usul watak-watak yang dimainkan dalam permainan Wayang Kulit Kelantan. Apabila sampai pada bahagian Watak Maharisi serta Dewa Panah beliau telah menyatakan bahawa sepasang Dewa Panah adalah berasal daripada Burung Tekukur. Perkara ini telah menyebabkan ambo dan rakan-rakan audiens menjadi keliru kerana berdasarkan apa yang diceritakan bahawa Dewa Panah itu berasal daripada Burung Jerijit.
Maharisi dan Burung Jerijit
Maharisi/Maharesi menurut takrifan perkataan oleh Kamus Dewan edisi keempat terbitan Dewan Bahasa Pustaka menyatakan bahawa ia adalah pendita yang suci. Ia berasal daripada perkataan sanskrit “Mahrsi” bagi sebagai gelaran pendita yang hebat gabungan dari perkataan “Maha” yang bermakna hebat “rishi” bagi pendita.
Di dalam bahasa Thai ia juga digelar Bhikkhu/Bhiksu, manakala di Tibet digelar Dge Long disebut (gelong) Dari segi istilah ia merujuk kepada orang yang alim, berilmu dan mampu memberikan ajaran. Dalam ucapan-ucapan dan budaya orang Melayu juga turut digelar “Ajar” diletakkan di hadapan nama sebagai gelaran kepada seseorang yang alim dan memberi petunjuk.
Dalam versi penceritaan Wayang Kulit Kelantan, Maharisi merupakan gelaran kepada seorang pertapa yang alim. Maharisi yang berlainan diberikan contohnya Maharisi Mata Kala Api, Maharisi Burung Jerijit, Maharisi Mata Lembu dan ada juga nama lain kepada Maharisi yang juga dikenali sebagai Tok Mahsikul dan/atau *Maharisi Mugaharani (Versi Dalang Karim). Maharisi ini adalah seorang yang berilmu tinggi, alim, taat kepada ajaran dan perintah. Ia sangat dihormati dan menjadi rujukan pemerintah dan rakyat sekitarnya.
Manakala burung Jerijit ialah burung kelicap dariada Genus (Prodotiscus) adalah burung yang berlainan dengan burung Tekukur (Little Cuckoo Dove) (Macropygia ruficeps) yang disebut penceramah tersebut. Pada hemat ambo mungkin ia versi penceritaan daripada Siam. Namun dua spesis burung yang berlainan dalam versi penceritaan oleh sang penceramah tersebut mengajak ambo kepada mencari rujukan yang lebih dalam dan rujukan yang paling hampir adalah menerusi bahan-bahan bertulis. Ambo menemui tulisan dan versi penceritaan seperti berikut:
*1. Versi Dalang Che Mat Jusoh
Dewa Panah berasal daripada sepasang burung Jerijit yang telah membuat sarang di janggut seorang Maharisi sedang bertapa. Mereka asalnya dihukum menjadi burung Jerijit kerana melakukan kesalahan di kayangan.
Setelah berlaku perbalahan antara burung tersebut kerana sang jantan tidak pulang ke sarang kerana mencari makanan dan mengganggu pertapaan Maharisi tersebut maka ia telah menjelma kembali kepada Dewa Panah iaitu bentuk asal mereka.
**2. Versi Dalang Awang Lah (Allahyarham)
Sepasang burung jerijit yang terbang mencari sarang bertemu dengan janggut seorang Maharisi yang bertapa selama 40 tahun dan membuat sarang. Semasa telur burung jerijit tersebut hampir menetas, pasangan burung tersebut membuat giliran untuk mencari makanan dan mengeram.
Suatu hari, semasa giliran sang betina keluar mencari makanan, lalu sang betina terleka mencari makanan di kolam teratai hingga teratai tersebut terkatup dan ia tidak dapat keluar. Pulangnya pula setelah teratai tersebut terbuka kembali ke sarang menyebabkan sang jantan menuduh sang betina mencari pasangan lain.
Lalu berkelahilah kedua-dua burung jerijit tersebut hingga menggangu pertapaan Maharisi tadi. Maharisi tadi telah memarahi kedua-dua burung tersebut kerana gangguan dialami. Kemudian burung tersebut berkata-kata kepada Maharisi bahawa walaupun mereka bergaduh, namun mereka telah ada keturunan untuk mewarisi generasi masa akan datang sedangkan Maharisi tadi tiadalah akan keturunan untuk mewarisi.
Tersentak dengan kata-kata burung jerijit tersebut telah menyebabkan beliau memperakukan diri sendiri sebagai dengan nama Maharisi Burung Jerijit.
**3. Versi Dalang Mamat Ismail (Allahyarham)
Sepasang burung jerijit yang membuat sarang di janggut Maharisi telah berkelahi dan mengganggu pertapaan Maharisi tersebut. Terganggu, lalu Maharisi tadi telah menyumpah kedua-dua burung tersebut kepada Dewa Panah.
Kesimpulan
Sebenarnya, terdapat lagi beberapa versi penceritaan yang direkodkan seperti versi Dalang Mamat Senik, Dalang Mustafa Chicha Tinggi, Dalang Wan Ibrahim Sabak dan sebagainya.. tetapi apa yang nak ambo beritahu bahawasanya tiada satu versi pun yang menyatakan bahawa dewa panah tadi berasal daripada burung tekukur. Sekadar pengetahuan yang dikongsi untuk tidak menjadikan kekeliruan kepada pernyataan yang kurang tepat.
Wallahu A’lam.
____
Rujukan:
*1. Che Mat Jusoh, Babak Dalang Muda Dalam Wayang Kulit Kelantan, Majalah Pentas Jil. 3 Bil. 1 Jan-Mac 2008, Istana Budaya.
**2. P. L. Amin Sweeney: The Ramayana and the Malay shadow-play. Kuala Lumpur: National University of Malaysia Press, 1972
3. Amin Sweeney, Malay shadow puppets: The Wayang Siam of Kelantan, The British Museum, London 1972
4. Kamus Dewan Edisi Keempat, Dewan Bahasa dan Pustaka.
by dian
12 comments
link to this post email a friend