DIKIR BARAT, TUKANG NYANYI, TEH SUSU, ROKOK ‘SIGERIT’ DAN ROTI CANAI

Selepas sesi latihan bersama ahli-ahli Persatuan Penggiat Seni Budaya Kelantan (PESIBAN) semalam, amba terlajak ke kedai mamak di Seri Kembangan untuk menghilangkan kering tekak bersama Abe Ming Puchong. Belan-belan tu amba terlanjur bertanya kepada Abe Ming Puchong (Tukang Karut Dikir Barat Terbaik Kebangsaaan 2008) mengenai muzik dan nyanyian Dikir Barat. Pertanyaan amba menjurus kepada nyanyian serta paluan rebananya yang lebih kompleks daripada paluan lagu Jogho.

(Kami duduk di sebuah meja di pinggir restoran. Hujan. Kami beralih ke dalam restoran.)

Setahu amba nama-nama paluan biasa yang dikenal pasti dikalangan ‘Oghe-oghe Dikir’ lebih-lebih lagi ‘Tukang Nyanyi’ senang disebut dengan nama Membo (mungkin berasal daripada Mambo), Cice (sebutan “Chiii-Chayy’), dengdut atau dangdut, rambong, dan beberapa lagi paluan spesifik yang ada. Mutakhir ini ada antara Tukang Nyanyi yang diiringi dengan paluan variasi muzik Melayu asli seperti zapin, inang, masri, joget dan lain-lain. Variasi ini bagi amba adalah sihat kerana masih di dalam lingkungan muzik tradisional dan menggunakan ensembel alat-alat asas dikir barat seperti rebana dikir barat dan gong.

(Lambat pulak mamak nak ambil pesanan .. )

Berbalik kepada perbincangan kami, rata-rata ‘Tukang Nyanyi’ lagu-lagu Dikir Barat pada awal 70-an dan 80-an yang berasal dari Yala dan Patani, negara Thai sentiasa merangkaikan diri mereka untuk bersama seorang pemalu rebana dikir barat pilihannya. Memandangkan amba ni peminat lagu-lagu Allahyarham Mat Yeh (yang mana lagu-lagu nyanyian beliau mempunyai pelbagai variasi paluan) perbualan kami berkisar dengan mengambil contoh kepada amalan dan pembawaan Allahyarham di bangsal/pentas dikir barat klasik. Yakni, sekiranya ada penganjur ‘memadah’ maka tidak dapat dinafikan bahawa Allahyarham akan membawa pemain rebana ibu dikir barat yang tersohor pada waktu itu iaitu, Husin Gading bersama untuk mengiringi nyanyian beliau. Adakah pada zaman kegemilangan dikir barat di Negeri Kelantan di waktu itu tidak ada pemalu rebana dikir barat yang boleh mengiringi nyanyian Allahyarham Mat Yeh?

(Jawapan kepada isu ini sedikit sebanyak telah terkupas sedikit demi sedikit sambil hirupan teh susu berselang dengan gelak hilai kami berdua.)

Sebenarnya antara masalah paling besar seorang ‘tukang nyanyi’ di bangsal/persembahan dikir barat yang bersifat ‘impromptu’ adalah untuk memberikan isyarat yang jelas mengenai paluan yang diperlukan. Memandangkan muzik dikir barat tidak seperti genre muzik moden yang mempunyai sekurang-kurangnya satu instrumen melodi, muzik dikir barat menggunakan alunan suara tukang nyanyi sebagai pembimbing (pamurba) lagu  dan kemudian disusuli oleh paluan irama variasi seperti diterangkan di perenggan sebelum ini, bertingkah antara instrumen lain seperti marakas, gong dan canang.

Interaksi dan isyarat yang diperlukan adalah kritikal kerana penentuan jenis paluan dan kelajuan atau tempo sesuatu lagu dikir barat. Walaupun seolah-olah automatik namun demikian terdapat kejadian yang menimpa ‘Tukang nyanyi’ yang kadangkala tiba-tiba terhenti dan atau tidak dapat mengalunkan sebuah lagu dengan baik kerana jenis paluan dan tempo tidak sesuai. Sebagai contoh, mungkin lagu memerlukan paluan tempo perlahan dan pemalu rebana itu adalah bergantung kepada kedua-dua pihak.

(tak cukup teh susu, roti canai kami pesan pula)

Menurut Abe Ming, tukang nyanyi perlu bawa bersama seorang pemain rebana dikir barat pilihannya atau yang tertentu adalah untuk melancarkan persembahan dan menjaga reputasi. Contoh dalam kes klasik, lagu-lagu Allahyarham Mat Yeh yang banyak menggunakan air lagu seperti lagu-lagu klasik Hindustan. Melalui beberapa lagu yang berada dalam koleksi amba kaedah paluannya berlainan daripada paluan normal. Abe Ming berkata paluan rebana yang mengiringi Mat Yeh sebenarnya memudahkan Allahyarham mengalunkan lenggok suara dengan lebih tenang, tidak tergesa-gesa dan projeksi suara yang menenangkan pendengar.

(Teh susu secawan dah separuh, rokok ‘sigerit’ pulak dihisap)

Di Lembah Kelang kini, bagi seorang tukang nyanyi akan menghadapi masalah ini. Ia menjadi dilema yang dipendam apabila khuatir pemain rebana yang kurang mahir sama ada sukar untuk mentafsirkan jenis paluan dan tempo dikehendaki seterusnya akan mencacatkan persembahan.

Memadai sebegitu dan amba belum lagi membangkitkan soal sistem audio dan kesilapan perletakan nada. Mungkin akan menyebabkan terjadinya ‘suara pecah’ atau ‘letang bbano’. Jika pembimbing lagu berasal daripada melodi yang biasa didengar mudah untuk pemalu ‘masuk’ mengiring nyanyian. Namun sekiranya melodi itu adalah melodi baru, masalah ini akan timbul semula.

Dilema ini sebenarnya boleh diatasi dengan dua (2) cara.. pertama menerusi latihan yang mencukupi antara tukang nyanyi dan pemalu rebana  dan kedua dengan memberitahu secara langsung mengenai jenis paluan dan tempo sebelum menyanyi. Jika amalan kedua-dua cara ini dilaksanakan, persembahan nyanyian seorang tukang nyanyi akan lebih baik dan teratur demi mengangkat persembahan dikir barat ke tahap lebih profesional.

(Roti canai dah habis, Teh susu dah habis.. amba pun hantar Abe Ming Puchong pulang ke rumahnya….)

Wallahu a’lam

[p/s: Belan-belan bbual, dan la siap sebuah lagu nyanyi.. tunggulah kalu ada kesempatan amba nyanyilah.. insya Allah]

6 thoughts on “DIKIR BARAT, TUKANG NYANYI, TEH SUSU, ROKOK ‘SIGERIT’ DAN ROTI CANAI

  1. a yie xrajin dgr chii chay tu…perkataan asal dari bahasa gapo tu..pasal kalu mengikut hok a yie tahu cice ni asal dari perkataan alik siye..”karocang”

  2. arwah mat yeh jugok brehi bawak gong tembaga kecik sebutir gi ddikir mana2..

  3. bahagian gong tembaga ni kalu kena pegu nga rebana yang sedak.. aii.. naik angin sekakloh lih… hihih..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>