Pada hujung minggu baru ini ambo telah diberi kesempatan untuk membantu sahabat-sahabat seperjuangan dalam kegiatan seni persembahan tradisional Kelantan untuk mengisi slot pengenalan permainan Wayang Kulit Kelantan di Kuala Rompin, Pahang. Sebenarnya ambo tidak layak untuk bercerita mengenai apa-apa yang terdapat dalam permainan Wayang Kulit Kelantan secara tepat dan panjang lebar. Hal ini, memandangkan ambo tidaklah mempunyai sebarang pengiktirafan daripada mana-mana institusi mahupun pengetahuan yang luas dalam bidang ini. Oleh kerana minat dan ada kesempatan, ambo ada bertanya untuk mengetahui serba sedikit warisan seni budaya tepat asal dulu tatkala mula kata orang, Alhamdulillah bolehlah berkongsi sedikit. Sebenarnyam, apa yang ambo nak ceritakan di sini adalah sedikit pemerhatian dan pengalaman ambo dalam permainan di Kuala Rompin tersebut tersebut.
Slot pengenalan tersebut dibuat berdasarkan jemputan pihak Kolej Komuniti Rompin, Pahang. Ambo difahamkan, program asalnya merupakan program para pelajar turun ke kampung. Selain daripada slot pengenalan Wayang Kulit turut juga diselitkan persembahan Dikir Barat daripada peserta/pelajar/penduduk sekitar. Masa tidak begitu panjang untuk duduk dan bermesra dengan para penganjur. Lagipun ambo hanyalah sekadar membantu rakan-rakan sahaja, di samping mengisi masa lapang untuk meluaskan pandangan mata.
Sambutan terhadap persembahan itu amat menggalakkan. Ambo mengagak, pihak urusetia sangat bagus dalam menyempurnakan tugasan promosi, memandangkan kehadiran para penonton yang ingin mengenali permainan Wayang Kulit begitu ramai dan amat menggalakkan. Ambo jangka tidak kurang 500 penonton yang hadir menyebabkan hati ambo sedikit bangga bahawa permainan tradisional yang ambo sanjung ini masih mempunyai tempat di hati rakyat tempatan. Cuma sedikit kekesalan di hati ambo semasa menyertai persembahan ini adalah kurangnya pengetahuan mengenai permainan ini disebarkan bagi mendapatkan apresiasi para penonton. Ini dapat dilihat daripada perkara-perkara berikut.
Pertamanya, kain rentang (banner) yang diletakkan menghiasi latar belakang pentas permainan memaparkan salah satu watak dalam permainan Wayang Kulit Jawa Purwa dan bukannya Wayang Kulit Kelantan. Kalu tidak silap ambo watak yang dipamerkan di kain rentang tersebut adalah watak Batara Kanwa iaitu salah satu bangsa dewa dalam wayang jawa Purwa… Ambo tidak tergamak nak merungkai kemusykilan ambo akan kenapa dibuat sedemikian. Tapi yang pastinya tiada seorang pun yang memperbetulkan keadaan sedemikian. Maka, kesimpulan.. imej tersebut dipamer.. Wayang Kulitlah ia…
Keduanya pula, sebelum bertabuh atau permainan dimulakan ada pula yang cuba memperkenalkan apa itu Wayang Kulit. Kononnya ingin membuat lawak jenaka tentang Wayang Kulit. Antara butiran yang ambo dengar ialah dengan menterjemahkan secara langsung kepada bahasa Inggeris iaitu “SKIN CINEMA”. Pada hemat ambo, pembuat lawak itu sangatlah tidak cerdik dan memperlihatkan kelemahan pengetahuan am. Sedangkan satu dunia telah mengetahui bahawa terjemahan dari segi bahasa adalah “SHADOW PUPPET PLAY”… Maksud ambo di sini, salahkah sekiranya menghampiri kumpulan yang mengisi slot persembahan dan membuat sedikit nota atau mengambil tahu apa yang sedang berlaku. Lebih baik lagi sekiranya mereka membuat sedikit pengajian terhadap permainan Wayang Kulit Kelantan. Kesudahannya menyebabkan kami hanya mampu menggelengkan kepala tanpa mampu membetulkan keadaan tersebut. Entahlah.
Ketiganya, tidak dapat dipastikan kenapa ramai penonton yang cuba berada bersama panjak di balik kelir menyebabkan konsentrasi para pemuzik dan dalang yang agak terganggu dengan bunyi percakapan dan hilai tawa … Hairan sungguh ambo. Permainan Wayang Kulit ditonton daripada belakang… pun jua entahlah..Tapi itulah pengalaman… walaupun tidak dapat bermain secara sempurna sama ada dari segi muzik dan penceritaan kerana masa diperuntukkan sangat singkat, namun pengalaman yang diperolehi adalah sangat berharga pada diri ambo..
[Nota kaki: Wayang Purwa = merujuk kepada Wayang Kulit di Indonesia]
![IMG_0450[900px]](http://dianais.com/wp-content/uploads/2010/05/IMG_0450900px.jpg)

by dian
20 comments
link to this post email a friend