Walaupun masih dalam dukacita memandangkan berlakunya musibah terhadap ambo, namun demikian hidup mesti diteruskan.
Ambo telah diberi kesempatan untuk membuat persembahan Dikir Barat di Seminar Seni Lisan Antarabangsa bertempat di Kelab Golf Danau, Universiti Kebangsaan Malaysia Bangi. Persembahan kali ini merupakan persembahan korporat dan berbentuk akademik sempena pembentangan Kertas Kerja mengenai Dikir Barat dalam konteks Seni Lisan oleh saudara Halim Yazid. Agak sayang memandangkan ia tidak terbuka untuk tatapan peminat seni Dikir Barat yang lain.
Pada persembahan Dikir Barat ini, ambo telah diberi kesempatan untuk menjadi ‘Tok Jora’ bersama Pasukan gabungan antara Kumpulan dikir barat Warisan Seni Budaya Putrajaya pimpinan saudara Halim Yazid dan Kumpulan Basa Diwana Universiti Malaya. Persembahan dimulakan pada jam lebih kurang jam 8.30 malam dengan paluan muzik-muzik dari permainan Wayang kulit serta kemudiannya diikuti dengan Dikir Barat.

Saudara Halim Yazid sedang memberikan taklimat mengenai persembahan.
Persembahan kali ini agak dinamis dan unik. Keunikan ini menyebabkan ambo rasa puas hati walaupun masa untuk latihan agak terhad. Keunikan tersebut adalah yang mana terdapatnya nilai akademik yang cuba ditonjolkan berbanding persembahan biasa. Saudara Halim Yazid cuba untuk memberikan perbezaan antara format Dikir Barat yang dipersembahkan pada zaman dahulu dengan persembahan yang cuba ‘digarap’ oleh pihak media terutamanya RTM.
Pusingan pertama persembahan dibuat dengan semua ahli memakai Kostum seperti mana yang terdapat di kaca televisyen yang lebih bersifat untuk pelancong atau dalam satu rujukan dinamakan ‘airport arts’. Lebih popular tetapi berbudaya rendah. Persembahan kumpulan menjadi kaku dan formal. Berdasarkan pemerhatian ambo dari pentas, tidak ramai yang mengambil perhatian terhadap persembahan.
Kemudian, pada pusingan kedua, kami menyalin kostum dan hanya menggunakan pakaian harian biasa dan membuat format dikir bulat atau ‘lingkung’. Persembahan menjadi kurang formal namun masih mengekalkan kesopanan atau formaliti persembahan yakni tiada perkataan yang kesat atau tidak sopan digunakan. Kumpulan dipecahkan kepada dua kumpulan dan setiap kumpulan mempunyai set lengkap dari segi Tok Jora, Tukang Karut (2 pasang), Pemuzik dan ‘Awok-awok’. Hasilnya lebih ramai penonton yang masuk ke dewan dan menikmati persembahan. Alhamdulillah, riak muka dan ‘gesture‘ penonton lebih ceria dan perhatian terhadap persembahan lebih tinggi berbanding pusingan pertama. Di situlah kepuasan yang ambo temui dalam mengadakan persembahan.
Persembahan diakhiri dengan Lagu Wau Bulan oleh Saudara Halim Yazid.
Sedikit foto buat kenang-kenangan semasa persembahan ini.
(‘direkodkan’ dengan menggunakan kamera telefon sahaja, mohon maaf di atas ‘getar-getar’ foto-foto ini)





http://dianais.com
by dian
6 comments
link to this post email a friend