Sebagai manusia, kita tidak akan lari dari kedua-dua sifat sama ada menegur atau ditegur. Menegur apabila melihat sesuatu yang tidak sesuai, tidak betul. Menegur juga dalam lingkungan kekuasaan kita. Jua ditegur sekiranya ada perlakuan, percakapan, ucapan, perbuatan serta sifat yang bertentangan dengan norma berlaku kepada manusia biasa.
Hari ini, hamba banyak melihat dan memerhati banyak segi teguran dan peneguran berlaku. Kaedah paling mudah peneguran dilaksana adalah melalui penulisan. Pelbagai teguran terhadap pelbagai bidang seperti politik, kaedah pentadbiran, pemahaman, pegangan, prinsip dan sebagainya. Justeru, sekiranya ada sahaja perkara-perkara dalam mana-mana bidang yang tidak seiring dengan pendapat peribadi seseorang maka teguran akan dibuat.
Sensitiviti
Melalui perspektif tegur menegur, pokok utama yang mesti dipertimbangkan adalah kemestian bagi menjaga sensitiviti mereka yang hendak ditegur. Hal ini sedemikian, perkara yang ditegur akan meninggalkan suatu kesan yang dalam kepada naluri seseorang yang ditegur. Kesan tersebut dalam psikologi dinamakan ‘kesan emosi’. Tambah-tambah lagi orang seni. Jiwa mereka halus dan abstrak. Kadang-kadang fikiran penghayatan terlalu tinggi dalam bidang sesuatu bidang itu akan menyebabkan mereka terlalu sensitif terhadap sesuatu teguran. Hinggakan pentafsiran sesuatu teguran itu disalah ertikan sebagai kritikan atau dalam kes-kes yang ekstrim, terasa direndah-rendahkan. Rumusan awal boleh hamba tafsirkan rata-rata, mereka yang tidak sensitif, maka jiwa itu masih belum tiba ke tahap orang seni.
Ditegur
Sifat kedua dalam konteks tegur menegur adalah ditegur. Sebagai seorang insan sudah tentu kita tidak akan sunyi daripada melakukan kesilapan. Bagi hamba, menerima teguran sebenarnya adalah suatu seni. Seni menerima teguran ini tidak pernah hamba terima atau diajar secara formal lebih-lebih lagi dalam pendidikan hari ini. Jika ada pun memang sangat sedikit.
Selain itu, faktor-faktor seperti kaedah serta persekitaran pembesaran seseorang menjadi faktor utama dalam menghadapi teguran. Kefahaman terhadap ‘Skala’ serta ‘tona’ peneguran memerlukan kaedah pentafsiran yang tepat. Kesilapan mentafsiran sesuatu teguran akan menyebabkan berlakunya salah faham dan mungkin akan menyebabkan nurani yang menerima teguran terguris. Ia juga dalam kes-kes tertentu akan menjurus kepada perbalahan atau perselisihan faham yang lebih besar.
Seni Menerima Teguran
Seni menerima teguran sebenarnya senang sahaja. Jika hamba mengambil sifat yang kena tegur, pertama sekali hamba perlu faham semua tindakan yang dilaksanakan dan bersedia untuk menerima teguran dengan hati terbuka. Seterusnya ialah mengenal pasti dengan cepat mereka-mereka atau golongan yang menegur. Pasifkah mereka? Agresif? Sinis? Atau ‘Pedas’? Hati terbuka akan mengatasi segalanya yang negatif.
Setakat ini, hamba menerima pelbagai teguran. Sama ada dalam kehidupan seharian, pekerjaan mahupun dalam pelajaran hamba sama ada dalam seni persembahan mahupun seni fotografi. Alhamdulillah, hampir semuanya hamba dapat terima dengan elok.. Jika tidak elok atau menyakitkan hati, hamba akan mengelakkannya dan berterima kasih kepada penegur-penegur tersebut. Walau bagaimana sekalipun bentuk teguran.. insya Allah..
sekadar pandangan peribadi.. wallahu a’lam
by dian
9 comments
link to this post email a friend