Pena yang saya suka sudah rosak. Bekas dakwatnya telah pecah. Habis berlumuran dakwat di tangan saya. Saya terpaksalah buang dia. Pena itu walau tidak mahal, tidak berjenama tapi tetap saya sayang. Ia pena saya.
Jika tidak digunakan, saya pamerkan ia di ruang maya. Kadang-kadang saya guna ia untuk menulis tulisan jepun, kadang-kadang pena itu digunakan untuk menulis puisi, kadang-kadang pena itu digunakan untuk mencoret bingkisan hati, kadang-kadang saya guna untuk lukis potret saya… Aduh. Ramai pula peminat pena saya itu. Tiba-tiba saya terfikir.. saya tidak layak guna pena itu!
Sebenarnya pena itu ada ruang peribadinya. Ada para peminatnya sendiri. Cuma sejenak sahaja ia hadir di lanau benak saya. Jauh sekali untuk saya milikinya secara tetap.
Detik demi detik, hari demi hari, peminat pena bersilih-ganti. Bukan sahaja minat, ada yang menyanjungi bentuk, malah ada yang ingin merobek dakwatnya. Ada yang mencuba untuk menawarkan harga tertinggi untuk memilikinya. Namun Pena itu masih tetap dipamerkan. Seolah-olah bernyawa menunggu pemilik yang sesuai.
Gelagat-gelagat mereka yang gigih mencuba dan giat mengacu saya perhatikan. Saya simpulkan bahawa dangkal sungguh mereka. Apa yang mereka fikirkan pena itu mungkin menjadi milik mereka? Sekurang-kurangnya tahukah mereka apa gunanya pena itu? Segala gerak-geri mereka saya awasi. Malah, kadang-kadang saya ketawa terbahak-bahak mengenangkan kekalutan perasaan mereka. Mencuba kepada yang tidak pasti. Di jidar maya saya coretkan penagalaman mengenai mereka. Itu hak mereka kan? Biarkanlah.. yang pasti, mereka akan kecewa, panas hati dan tidak akan capai apa-apa…
Bagi saya, pena itu ada nilai tersendiri. Bukanlah kerana bentuknya, bukanlah kerana jenamanya. Tapi kerana kesesuaian ia dengan gaya menulis saya. Jika senget saya menulis, maka tulisan saya tetap senget. Jika lurus gaya saya menulis, maka luruslah tulisan saya. Saya tak perlu bersusah-payah menyuruh pena itu mengikut saya. Ia sedia ada faham dengan saya.
Namun demikian, itu semua tinggal kenangan. Pena itu sudah rosak. Tergantung dek celoteh dan bebel yang tidak ternoktah. Saya rasa tidak sesal walau saya tidak dapat saya gunakan lagi pena itu. Dakwatnya sudah pecah. Walau terpalit rona tinta di tangan saya. Selang beberapa ketika ia akan hilang. Itulah realitinya. Terima kasih kerana wujud dengan fana di dunia saya.. walau hanya seketika.
by dian
2 comments
link to this post email a friend