Dipetik dari Laman dikirbarat.net
Kumpulan Sri Arena, Tumpat Johan Pertandingan Dikir Barat Kebangsaan 2009
Kuala Lumpur 22 Nov – Sri Arena Tumpat Kelantan telah berjaya menggondol hadiah wang tunai berjumlah RM 20,000 apabila di nobatkan sebagai johan pertandingan Dikir Barat Kebangsaan anjuran RTM. Manakala naib johan pula disandang oleh kumpulan Sri Istana, Tumpat dengan hadiah sebanyak RM 15,000. Bagi Juara terbaik pula disandang oleh Hassan Sri Panggung (Sri Arena, Tumpat) dengan hadiah sebanyak RM 3000, manakala Tukang karut terbaik pula di sandang oleh Azhar atau Kohar Teknik (Sri Istana, Tumpat) dengan hadiah sebanyak RM 3000. Kedua-dua kumpulan dikir barat tersebut telah memberikan persembahan yang terbaik tetapi nasib lebih menyebelahi kumpulan Sri Arena walaupun terdapat kecacatan persembahan semasa tukang karut menyampaikan persembahan. Walau bagaimanapun tahniah diucapkan kepada kumpulan Sri Arena Tumpat Kelantan dari Komuniti Dikir Barat.net kerana berjaya menjadi johan Pertandingan Dikir Barat Kebangsaan RTM. Bagi kumpulan yang tidak berjaya di harapkan jangan berputus asa cuba lagi di tahun hadapan.
Pertamanya ambo mengucapkan tahniah kepada yang berjaya. Mungkin itulah rezeki buat mereka setelah berusaha dan melepasi halangan-halangan pada pertandingan Dikir Barat peringkat kebangsaan RTM 2009 kali ini. Seterusnya, sebagai seorang penggiat dikir barat, diri ambo merasa bertanggung jawab untuk mengujarkan sedikir pendapat mengenai pertandingan ini.
Pagi ini, melalui blog 2 rakan ambo iaitu Muslih Sang Saka dan Arjunasukma.com pendapat-pendapat dilontarkan secara professional mengenai konteks pertandingan Dikir Barat RTM (akhir) yang telah disiarkan secara langsung di tv Malaysia. Kedua-dua pendapat ambo kira amat membina dan penuh informasi memandangkan kedua-dua individu yang ambo kenal ini telah melalui serta mempunyai pengalaman yang cukup dalam Dikir Barat.
Pada pertandingan akhir ini, ambo tidak berkesempatan untuk menyaksikan secara langsung di RTM. Memadai dengan telinga ambo mendengar ‘tempias’ sayup-sayup perdebatan antara Sri Arena Tumpat dan Sri Istana Tumpat. Dua kumpulan yang ‘terpilih’ menyertai peringkat akhir. Melalui pengalaman ambo, walaupun ‘tempias’ ambo sekali lagi kecewa seperti mana menyaksikan peringkat yang sama pada tahun 2008. Artikel mengenai pertandingan tahun lepas diterbitkan di sini.
Tahap Persembahan
Umumnya tahap persembahan adalah hambar, terlalu formal dan seolah-olah dilaksanakan secara sambil lewa. Daripada segi tajuk ‘perbahasan’, ia tidak langsung menonjolkan atau memberikan peluang kepada ‘pendikir’ untuk membuat kajian terperinci dari segi pengisian ilmiah dan nasihat kepada penonton, khasnya penggiat dikir barat di seluruh negara. Di sini ambo sangat merasa kesal dengan pihak penganjur.
Dari aspek Tok Jogho, terdapat Tok Jogho yang masih belum layak untuk dinobatkan sebagai Johan Kebangsaan. Jika ada diberikan peluang kepada yang lain, maka jelaslah pemilihan akan diberikan kepada pihak lain.
Begitu juga jika dilihat dari aspek Tukang Karut. Kreativiti untuk menguasai persembahan dan gerak laku adalah ‘kaku’. Masih jauh untuk ambo akui sebagai terbaik Kebangsaan. Asasnya adalah seperti mana ambo telah alami sendiri selama ambo berdikir barat bersama Tukang Karut/Pendikir professional seperti Halim Yazid, Tuan Kob Raja Saring, Pak Nik Lah Tok Deh dan lain-lain di seluruh negara. Namun begitu, itulah pilihan yang ada.
Kelayakan Individu Tertentu
Sepatutnya, individu-individu yang lebih layak (seperti Halim Yazid dan Jali) seperti mana diakui oleh semua pendikir, mempunyai pengalaman, selok-belok serta kearifan dalam Dikir Barat, diletakkan di lembayung kehakiman. Bukanlah semata-mata ditonjolkan sebagai pengacara majlis sahaja. Tapi yang fasih mengenai pengaturan persembahan adalah mereka yang lebih. Bukanlah pendapat yang ramai diguna pakai. Biarlah.
Keputusan
Keputusan yang diumumkan adalah juga diluar jangkaan. Memandangkan tiada pilihan lain pada pertandingan kali ini, maka layaklah Hassan Sri Panggung dan Koha Teknik menggondol anugerah Tok Jogho dan Tukang Karut terbaik bagi tahun 2009. Bagi ambo, keputusan ini hanyalah bersifat “akademik”. Maksudnya, anugerah yang disediakan mestilah diberikan kepada mana-mana yang bertanding pada malam itu. Bukanlah daripada Keseluruhan pasukan yang bertanding daripada 2009 daripada awal hingga akhir.
Keputusan keseluruhan juga adalah mengejutkan seolah-olah pihak penganjur hanyalah “Bersedekah” wang hadiah kepada yang “DIPILIH”.
Oleh itu, usailah pertandingan, musim bersilih. Begitulah keputusan, jangkaan terkalih.
Akhirnya, ambo bersetuju seperti mana ujaran Arjunasukma dalam blog beliau:
Rupanya hamba masih jauh lagi tarafnya untuk menghakimi sebuah pertandingan dikir barat.Namun, hakim-hakim pada malam ini pasti ada alas-alasan yang tersendiri.Hamba yakin…
Ambo juga turut bersekongkol dengan Muslih Sang saka mengenai taraf dikir barat negara dalam blog beliau berbunyi:
adakah taraf dikir barat Malaysia telah merudum jatuh? sehinggan pasukan terbaik seluruh Malaysia hanya mampu mempersembahkan itu sahaja,amat tidak memuaskan? atau ada permainan tersembunyi didalam pertandingan ini..Wallahua’lam….
Bagi ambo sendiri, Pertandingan Dikir Barat ini hanyalah layak bagi mereka yang ingin mencari sedikit “wang saku” bagi perbelanjaan seharian dan bukanlah tahap Dikir Barat sebenar Dikir Barat negara. Maka kepada semua pendikir barat, ambo menyeru supaya TIDAK dan tetap TIDAK menjadikan Dikir Barat RTM sebagai penanda aras Dikir Barat Negara.
Sekian. Wassalam..
http://dianais.com

by dian
4 comments
link to this post email a friend