Form submitted successfully, thank you.

Error submitting form, please try again.

PENDAPAT: FEStKUM OH FEStKUM..(DIKIR BARAT)

logo

Logo FEStKUM 2009

Festival Kebudayaan Universiti Malaysia 2009 (FEStKUM) sememangnya pentas yang ditunggu-tunggu oleh semua warga institut pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh Malaysia. Pada FEStKUM yang dianjurkan oleh Majlis Kebudayaan Univerisiti-universiti Malaysia kali ini, menyenaraikan beberapa pertandingan-pertandingan kebudayaan diadakan untuk disertai oleh warga-warga penuntut IPTA. Acara-acara utama seperti Dikir Barat, Pantun, Boria, Muzik asli dan tarian menjadi tarikan kepada penyertaan semua penuntut.

Liputan dan keputusan rasmi keseluruhan dapat dilihat di laman Komuniti Dikirbarat.net.

Mengenai Pertandingan Dikir Barat

Acara pokok yang paling hangat diperkatakan pada hari ini adalah pertandingan Dikir Barat.  Pelbagai anugerah-anugerah yang ditawarkan dalam perrtandingan  ini termasuk anugerah busana terbaik, jogho terbaik, tukang karut terbaik di samping pemenang keseluruhan. Kesemua menjadi rebutan para peserta pertandingan.

Kehangatan masih lagi terasa.. walaupun telah berakhir masih lagi terdengar pahat-pahat masih lagi bertukang. Walaupun ia sekadar pertandingan dikir barat IPTA, tetapi sebenarnya ia adalah satu pertandingan yang mempertaruhkan maruah peminat-peminat seni Dikir Barat di alaf baru. Mengapa ambo katakan dikir barat alaf baru? Berikutan penganjurannya menjadi terlalu teknikal dan Subjektif.

Pada hemat ambo, pertandingan Dikir barat seharusnya mempunyai objektif untuk menaikkan salah salah satu cabang seni. Mungkin aspirasi dan matlamat untuk memartabatkan seni Dikir itu sama. Namun kaedah penyampaian untuk tiba kepada matlamat itu perlu dipersoal. Sukar untuk peminat-peminat dan penggiat Dikir Barat seperti ambo dan rakan-rakan terdekat memahami perkara-perkara teknikal  yang ditetapkan oleh pihak penganjur. Kaedah penganjuran agak samar dan tidak seperti yang diharapkan.

Format

Pertandingan Dikir Barat sebenarnya adalah subjektif. Oleh kerana itu format penganjurannya perlu jelas dan tidak samar. Maksudnya, semua pasukan yang menyertai tidak kira tuan rumah atau peserta pelawat MESTI mematuhi format serta  undang-undang penganjuran. Jika ada yang tidak tepat dan salah maka penalti haruslah diberikan tanpa berpihak kepada mana-mana pasukan atau kumpulan. Begitulah logiknya.

Hakim

Tindakan mengenakan penalti harus diambil oleh seseorang yang diberikan kuasa khas menjalankan penalti tersebut. Oleh demikian, peranan Hakim yang dilantik adalah paling kritikal dalam konteks ini. Memandangkan kuasa yang diberikan Hakim tidak boleh bias kepada mana-mana pasukan. Di sini, konteks keadilan dan profesionaliti Hakim turut menjadi sandaran kepada jawatan yang diberikan. Jika tidak, seseorang itu tidak layak sama sekali menjadi hakim.

Pemilihan hakim pada malam itu masih ambo ragui. Sebegitu pun ambo terpaksa akui memandangkan peringkat pertandingan adalah IPTA bukanlah peringkat Antarabangsa. Namun ambo mempersoalkan yang mana tidak bolehkah pihak penganjur berfikir lebih sedikit daripada norma-norma pemikiran penganjuran pertandingan untuk mengadakan perancangan yang lebih rapi untuk pertandingan ini? Ambo sedikit pun tidak menafikan professionaliti dua hakim utama yang merupakan penggiat seni Dikir Barat yang amat mahir dalam bidang masing-masing…Namun ambo rasa ada yang lebih layak berbanding mereka berdua untuk berada di meja pengadilan berbanding mereka. Contohnya mereka yang lebih mahir dalam perkara-perkara teknikal Dikir barat di peringkat IPTA seperti saudara Halim Yazid, Asrulfaizal Kamaruzzaman dan sebagainya? Itu pada hemat ambo.. atau lebih tepati lagi diberikan kepada pendikir yang mempunyai taraf pengetahuan yang lebih menyeluruh berbanding satu dua bidang sahaja..Pun begitu.. entahlah.. ambo mampu memerhati sahaja. Kalu takut mereka berdua ‘bias’ orang lain yang memahami erti Pertandingan Dikir Barat peringkat IPTA perlu dipilih…

Kesimpulan

Walau apa pun.. ambo wajib memuji bahawa sistem audio visual pihak penganjur adalah amat baik.. mungkin terbaik setakat ambo berdikir di Lembah Klang dan sekitar semenanjung Malaysia… Bunyinya amat jelas dan tajam.. sesuai dengan seni Dikir barat yang terasnya seni bunyi dan seni suara. Tahniah ambo ucapkan kepada pihak penganjur dan semua yang terlibat. Tahniah juga kepada yang memenangi pertandingan ini. Harapan ambo adalah supaya kemenangan yang diperolehi itu dipanjangkan kepada masyarakat di luar yang masih lagi tandus dengan keaslian Seni Dikir Barat. Bukanlah semata-mata menyandang kemenangan di dalam pagar Universiti semata-mata. Janganlah disia-siakan bakat yang ada.

Komentar teknikal mengenai para pemenang boleh dibaca melalui laman rakan ambo iaitu Arjunasukma.com dan Blog Sang Saka Bangsa.

http://dianais.com

Your email is never published or shared. Required fields are marked *

*

*