Hari Raya Aidiladha baru sahaja berlalu. Tahun ini ambo tidak berkesempatan balik ke kampung memandangkan cuti ambo abis. Persepsi orang-orang di Pantai Barat Semenanjung Malaysia menganggap kemeriahan Aidiladha di negeri asal Cik Siti Wan Kembang atau Tanah Serendah Sekebun Bunga adalah lebih berbanding kemeriahan Aidiladha di tempat lain. Bagi ambo di mana-mana tetap sama. Walaupun demikian, ambo tetap tidak nafi bahawa Aidiladha agak meriah berbanding aidilfitri di kampung ambo. Kerana apa? Seusai solat sunat Aiduladha, kaum muslimin akan menjalankan ibadah korban dengan menyembelih binatang-binatang ternakan yang digariskan oleh agama Islam khususnya termasuk mempunyai keunikannya tersendiri.
Di kampung sebelah mak ambo, gotong-royong menjalankan ibadah korban tidak kurang hebatnya berbanding dengan mengadakan kenduri kahwin. Sehingga hari ini kemeriahan menjalankan gotong-royong ini masih kukuh. Di sebuah kampung atau kawasan, biasanya beberapa hari sebelum ibadah korban dijalankan urusan-urusan jual beli, penempahan tukang sembelih dan lain-lain memang akan dikira. Di kampung ambo akan ada beberapa orang ‘kamkan’ yang biasanya terdiri daripada orang-orang tua yang dihormati akan membuat urusan aturcara perjalanan ibadah korban tersebut.
MMisoh Daging
Dipendekkan cerita, tibalah masa ibadah korban dijalankan. Keluarga ambo termasuk ambo yang tidak ramai kaum lelaki akan menyertai majlis ibadah korban di mana-mana tempat berkenaan walaupun kami tidak menjalankan korban. Sementelah jika ada ahli keluarga yang menjalankan ibadah korban, maka kami akan melapangkan hari untuk ke acara tersebut. Berdasarkan keperluan menjalankan ibadah korban, waktu dijalankan adalah di antara jam 9.00pagi - 12.00 tengahari. Pada waktu ini, jika ditanya ke mana maka yang mengetahui akan seraya menjawab,
“Gi pat MMisoh Daging…” (ke tempat ibadah Korban dijalankan)
Jadi begitulah adatnya.
Oghe Jemelih
Di tempat ‘MMisoh daging’ tadi, setiap individu akan ada tugasan hakiki yang masing-masing. Manakala binatang yang paling biasa dikorbankan adalah lembu. Jawatan tertinggi di tempat ‘mmisoh daging’ adalah ‘oghe jemelih’ (Tukang jemelih). Oghe jemelih ini biasanya terdiri daripada kalangan orang yang dihormati dan biasanya mempunyai kewarakan, alim dan ‘thiqah’ yang baik. Ini berikutan ada kriteria-kriteria tertentu dalam Islam yang perlu dipatuhi bagi menentukan sahnya ibadah tersebut. Selain memenuhi kriteria oghe jemelih yang baik ditentukan melalui tenangnya binatang sebelum proses penyembelihan, pisau digunakan amat tajam dan penyembelihan dilaksanakan dengan pantas. Biasanya di kampung ambo hanya ada beberapa orang sahaja ‘oghe jemelih’ yang tidak akan menunggu lama di sesuatu tempat untuk beliau bergegas melaksanakan penyembelihan di tempat-tempat lain. Memang beliau akan sibuk pada hari itu.
Tunjuk ‘Skil’
Di samping itu, di tempat ‘mmisoh daging’ juga, ada juga yang akan mengambil kesempatan menunjukkan ‘skil’. Berikut ‘skil’ yang dimaksudkan
- Skil Melapah Belulang – Belulang hendaklah bersih daripada sebarang daging atau tak boleh ada daging melekat di belulang (kulit lembu);
- Skil Cuci Perut – Ha ah.. bahagian perut dibahagikan kepada beberapa bahagian seperti perut kitab, perut muda, perut dan sebagainya. tak boleh ada kesan Najis. Lepas tu rebus, cicah air asam.. sedap!;
- Skil Tulang – Biasanya dibuat oleh mereka yang berbadan besar dan agak gagah untuk mericih tulang seperti tulang rusuk, tulang paha dan sebagainya. Pada kebiasaannya mereka juga tukang untuk melapah kepala lembu bagi mendapatkan otak lembu…. sangat sedap digoreng (hehe); dan
- Skil Mericih Daging – Mereka pakar mengenal pasti kualiti bahagian-bahagian daging yang elok seperti daging ‘musir’ (Batang Pinang) dan sebagainya.
Kepakaran yang ada ini akan mempercepatkan kerja dan ada kualiti-kualiti yang diiktiraf sesama sendiri.
Pandai Besi
Di tempat ambo iaitu di Kampung Tendong, Pasir Mas Kelantan, terkenal dengan ‘pandai besi’. Buktinya apabila Kerajaan pun telah mengiktiraf tempat ambo sebagai pusat penghasilan pisau/belati/keris dan seangkatan dengannya melalui program Satu Daerah Satu Industri dalam ‘Pandai Besi’. Oleh itu ia bagi ambo menjadi satu keunikan acara korban di tempat ambo. Tukang-tukang besi akan mencabar ‘hasil tangan’ mereka pada majlis tersebut. Setiap kali ambo menyertai acara itu, tidak pernah lagi ambo tidak dengar usikan-usikan serta gurauan antara pakar-pakar besi mengenai pisau/parang/belati yang digunakan untuk melapah daging. Sekadar yang ambo tahu, pisau yang elok ditempa, kemas kemahirannya tidak akan mudah tumpul apabila digunakan dalam waktu yang lama untuk melapah daging. Secara saintifiknya, sifat daging yang mempunyai kandungan asid lemak yang tinggi akan cepat menumpulkan pisau melalui proses kakisan.
Berdasarkan pengalaman ambo pernah bertanya mengenai satu pisau yang cantik yang matanya diperbuat daripada bahan yang digunakan untuk membuat rel keretapi. Tukang besi tersebut ambo masih ingat digelar Pak nik Him menceritakan proses pembuatan pisau itu yang memakan masa berminggu-minggu kerana kekerasan besi tersebut. Sepanjang proses ‘mmisoh daging’, ambo perhatikan beliau hanya mengasah sekali sahaja pisau tersebut untuk melapah 40% daging dan tulang pada seekor lembu. Begitulah kehebatan mereka yang pandai besi.
Jamuan
Setelah selesai ‘mmisoh’ dan membahagikan daging korban. Pada kebiasaannya jamuan nasi panas bersama daging goreng kunyit akan menjadi menu pilihan jamuan ringan daripada tuan rumah/ tempat korban sebagai tanda terima kasih kepada mereka yang hadir memeriahkan majlis ibadah korban atau ‘mmisoh daging’ di tempat ambo.



by dian
2 comments
link to this post email a friend