MAIN KUTU!

2011 ni mencorakkan kembali hidup amba dalam kancah seni budaya yang lebih serius. Tambahan lagi dengan mandat  baru untuk memartabatkan seni budaya dan warisan di sebalik sempadan membuka mata lebih luas bahawasanya, untuk sesuatu seni bertapak dan berdiri, ia bukanlah semudah memetik jari. Tinggallah dahulu kasih menolakkan kepadalah sayang..

Seperti mana pepatah Melayu, “lagi besar periuk nasi, lagilah besar keraknya…” begitulah yang berada di sekeliling amba.. namun itu merupakan masalah peribadi dan tak ada makna nak sebar-sebarkan kepada orang lain.. Apa yang amba nak kongsi pada kali ini adalah berkaitan dengan sifat orang-orang kita terutamanya dalam bidang pengurusan kewangan…

Salah satu instrumen pengurusan kewangan yang terdapat di kampung-kampung ialah Main Kutu. Main Kutu di sini bukanlah bererti bermain dengan menggunakan kutu (sejenis serangga parasit pada mamalia). Tetapi secara teknikalnya bolehlah ditafsirkan sebagai salah satu instrumen untuk menghimpunkan sesuatu elemen yang menarik kepada satu perkumpulan orang.

Main Kutu ini boleh juga secara umumnya diumpamakan sebagi satu proses/konsep menabung atau diumpamakan sebagai satu skim pinjaman mikro yang sumber faedahnya berasal daripada ahli-ahlinya sendiri. Almaklumlah institusi kewangan yang dah ‘establish‘ tidak akan memandang konsep ini sebagai satu peluang kerana risikonya amat tinggi dan tiada sebarang pulangan yang boleh dijana.

Sejarah mengenai bila dan di mana ia dimulakan tidaklah pula amba ketahui, mahupun tercatat di mana-mana jurnal akademik ataupun penerbitan komersial. Namun begitu, amalan dan konsep ini terbukti menjadi satu instrumen yang efektif bagi menjaga kebajikan komuniti setempat. Oleh yang demikian, suka amba mencoretkan bingkisan ini sebagai satu pemerhatian yang agak menarik untuk dikupas secara umum.

Mekanisma Main Kutu

Main Kutu seperti mana yang amba sebutkan dalam perenggan terdahulu adalah disertai oleh satu perkumpulan. Pada kebiasaannya suatu perkumpulan Kutu akan melibatkan 4-12 orang. Salah satu ahli perkumpulan tersebut akan membangkitkan idea dan jika dipersetujui oleh semua ahli-ahli yang lain kemudian satu mesyuarat secara tidak rasmi akan diadakan untuk menentukan syarat dan terma permainan ini. Antara syarat yang terlibat adalah pemegang amanah dan tempoh masa satu kitaran main kutu yang akan ditentukan.

Kemudian, pemegang amanah akan pula menggunakan teknik undian bagi menentukan giliran penerima faedah daripada himpunan elemen-elemen yang menjadi citarasa ahli-ahli main Kutu.

Setelah terma permainan dipersetujui, kitaran akan dimulakan. Pada peringkat ini, keunikan dan kreativiti memainkan peranan penting dalam memastikan kitaran ini terlaksana dengan baik. Contohnya, dalam Kutu Duit pemegang amanah biasanya akan menetapkan syarat seperti “Semua ahli kena bayar wang berjumlah RM200 pada setiap 1 haribulan.” dan sebagainya. Selepas itu pemenang amanah akan menetapkan syarat untuk menyerahkan elemen faedah tadi kepada yang berhak pada giliran masing-masing.  Ia akan berterusan sehingga penerima di giliran terakhir menerima faedah daripada elemen yang terhimpun tadi.

Evolusi Main Kutu

Main Kutu telah sebenarnya mengalami evolusi dan revolusinya tersendiri. Seingat amba, suatu masa terdahulu hanya elemen wang ringgit atau wang tunai terlibat. Tetapi pada hari ini Main Kutu telah berkembang kepada beberapa jenis Kutu. Kutu Pinggan Mangkuk, Kutu Kain Selimut, Kutu Perabot dan yang terlebih terkenal Kutu Tupperware. Elemen penamaan ini lebih senang dititipkan secara umum dan seolah-olah difahami kerana elemen barang-barang atau subjek yang membangkitkan citarasa yang sama terhadap suatu perkumpulan.

Keunikan Main Kutu

1. Tiada kontrak dan sebarang deklarasi untuk ditanda tangani. Cuma dan hanya cuma kepercayaan antara ahli-ahli sahaja yang menjadi tali pengikat ataupun sebagai tanda komitmen terhadap syarat yang ditetapkan.

2. Semua benda boleh di ‘KUTU’kan. Sebut sahaja, duit, pinggan mangkuk, selimut, cadar katil, kain tuala dan sebagainya. Syaratnya semua ahli mempunyai citarasa yang sama terhadap benda-benda tersebut.

Kebaikan Main Kutu

1. Membangkitkan rasa kerjasama dan muafakat dalam masyarakat.

2. Meningkatkan taraf hidup.

3. Meningkatkan peratus keboleh capaian masyarakat terhadap material dalam masa yang singkat.

4. Mewujudkan keharmonian dan kepercayaan dikalangan masyarakat.

Keburukan Main Kutu

1. Menimbulkan sifat tamak.

2. Kecenderungan untuk menipu dan pecah amanah  akibat ketamakan.

Wallahua’lam.

 

 

2 thoughts on “MAIN KUTU!

  1. tak pernah main kutu. hahaha. tapi penah tgk my mom mainlah. best ke? hmmmmm.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>