Asal pokok adalah daripada benih. Benih jatuh ke bumi dan dengan izin-Nya bertunas dan mula tumbuh. Urat halus anak akar mula menjalar dan berpasak menembusi tanah. Pucuk muda akan mula mekar menghijau, memberikan petanda bahawa pokok itu akan bercambah kukuh.
Umumnya, pokok jika disiram, dibajai dan cukup dedahan cahaya, akan segar tumbuh. Pokok baru hendak tumbuh sudah semestinya tidak mempunyai batang yang kukuh, akar yang kuat dan hanya bergantung semata-mata kepada pucuk yang meliuk segar menghala ke langit mencari cahaya untuk membantu membesarkan batang pokok agar kukuh dan kuat. Hakikatnya sebegitu
Rintangan sepohon pokok untuk tumbuh segar muncul dari segenap sudut. Jika pokok bertunas dalam sebuah belukar, maka pokok itu perlu bersaing untuk merimbun dengan pokok-pokok lain. Rintangan-rintangan terlibat termasuklah daripada pokok-pokok yang berbanir, pokok-pokok renek dan paling kritikal ialah cabaran bendalu dan perbuatan manusia yang khianat dan dengki dengan tumbuhnya pokok. Hakikatnya sebegitu.
Pokok yang sudah berbanir kadang tidak sedar akan persaingan diberikan. Ia tegap, perkasa dan meninggi kadangkala tidak tunduk ke bawah melihat kepada anak-anak pokok yang baru ingin membesar. Hakikatnya sebegitu.
Pokok renek mencabar untuk menyesarkan pokok baru. Supaya baja dan cahaya dia dapat lebih. Pokok baru tak perlu tumbuh. Kawasan dia yang dapat. Beban dia akan kurang. Pokok renek penting diri sendiri. Hakikatnya pun sebegitu.
Cabaran terakhir sepohon pokok ialah bendalu dan perbuatan manusia. Jelas, bendalu adalah parasit. Ia hidup dipokok lain. Ia menghisap keperluan orang lain tanpa segan silu. Fitrahnya begitu. Seperti mana manusia, ia menakik batang baru nak tumbuh. Memetik pucuk yang baru nak bercambah. Hasilnya daun lama gugur, tiada penambah baikan dan layu gugur rebah menunduk ke bumi. Tak sedarkah bendalu bahawa ia juga akan turut rebah jika hosnya rebah? Aneh. Namun, hakikatnya jua sebegitu.
Itu asasnya, jika kuat akarnya, jika kukuh batangnya, jika rimbun daunnya, jika cukup pertimbangan baja dan rasa cahayanya. Pokok boleh tumbuh segar. Pokok boleh bersama mekar berakar banir, meneduhkan makhluk di bawahnya, memanfaatkan orang lain dengan hasilnya, hinggalah sampai waktu ajalnya. Menemui Penciptanya… Maka, hakikatnya sebegitu.

by dian
38 comments
link to this post email a friend