Hamba dan Seni Persembahan Tradisional Melayu Kelantan
Selain daripada fotografi hamba juga giat mempelajari seni persembahan tradisional Melayu Kelantan. Kedua-dua bidang ini amat sesuai dengan jiwa dan perjalanan hidup hamba, lebih-lebih lagi hamba sememangnya berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang. Skop bidang persembahan tradisional Melayu Kelantan amat luas dan unik. Ia merangkumi seni muzik, tarian malah lakonan yang semakin hari semakin kurang diminati lebih-lebih lagi dipelajari. Oleh hal yang demikian, telah hamba jadikan ia sebagai sasaran hidup hamba untuk mempelajari bidang ini secara lebih lanjut, supaya satu hari nanti, hamba dapat mengekalkan seni persembahan warisan ini.
Sehingga hari ini, hamba amat berbesar hati kerana berkat dengan kesudian dan kesabaran Guru-guru serta rakan-rakan hamba untuk memberikan tunjuk ajar kepada hamba dalam bidang ini. Tanpa mereka hamba tidak akan dapat mengenali seni persembahan tradisional seperti Makyong, Dikir Barat, Wayang Kulit dan lain-lain. Jika mereka lokek dengan apa yang mereka tahu, maka hamba tidak akan sama sekali mengetahui makna yang tersurat mahupun tersirat di sebalik sesebuah persembahan tersebut.
Kurangnya Apresiasi Ilmu
Hamba memerhatikan, tidak ramai rakan-rakan sebaya hamba yang benar-benar ingin mempelajari bidang ini. Jika ada pun, segelintir sahaja. Dalam segelintir, hanya berapa kerat sahaja yang benar-benar ingin mempelajari bidang ini. Hamba tahu, teman dan handai yang rapat hamba tidak menentang bidang ini. Sebenarnya, itu pun sudah memadai. Di benak hamba, mungkin peluang untuk mempelajari bidang seni persembahan ini tidak banyak berbanding bidang persembahan moden yang lain. Bidang ini memerlukan mereka yang benar-benar pakar untuk memastikan apa yang diketahui tidak terpesong ataupun salah dari segi kefahaman mahupun amalan-amalannnya.
Selain itu, berdasarkan apa yang hamba perhatikan, adalah tidak begitu mudah untuk mendalami aspek-aspek persembahan seni ini. Secara mudahnya, ramai yang mengetahui bahawa ia adalah sebuah persembahan tradisional semata-mata tanpa menghiraukan aspek keilmuan yang terdapat dalam seni persembahan ini. Ia hanya dipandang remeh malah seolah-olah tiada nilai dari segi teoritikal dan khusus untuk orang-orang tua sahaja.
Lapisan Kefahaman
Sebenarnya, setiap perkara yang dilaksanakan dalam seni persembahan tradisional Kelantan mempunyai asbab atau maksud, makna dan keunikannya tersendiri. Sesuatu perkara dipertontonkan dalam sesuatu seni persembahan itu ada terjemahannya yang tertentu. Terdapat pelbagai ‘lapisan-lapisan’ yang perlu difahami. Di peringkat hamba, yang masih berusia setahun jagung, masih banyak yang perlu hamba ketahui. Tidak banyak sumber-sumber penulisan yang memberikan penjelasan yang terperinci serta tepat mengenai perkara-perkara ini. Jika ada pun, hamba masih lagi tidak ketemui. Namun demikian, hamba yakin. Jika betul niat hamba dan betul pencarian hamba, maka hamba akan ketemui maksud-maksud yang hamba cari ini.
Lapisan-lapisan kefahaman ini amat penting bagi hamba memberikan apresiasi terhadap seni persembahan ini dengan lebih mendalam. Hamba berharap usaha ini tidak akan sia-sia. Demi apresiasi ini, selagi mampu, hamba sanggup korbankan segala apa yang hamba ada.Bukan apa, ilmu yang diperoleh ini bukanlah ilmu tersedia ada di pasar raya mahupun terselit di sebalik kecanggihan teknologi-teknologi yang ada pada hari ini. Jika ada sekali pun, sumbernya tidak rasmi. Lebih mengecewakan lagi ada yang terpesong dan bersimpang daripada apa yang sepatutnya.
Iri
Sebenarnya, hamba merasa iri hati terhadap mereka-mereka yang diberikan peluang untuk mempelajari seni persembahan ini, secara formal sama ada di Institusi Pengajian Tinggi atau di Akademi-akademi Pengajian Seni yang diiktiraf. Sungguh beruntung dan bertuah mereka. Sekurang-kurangnya, mereka lebih dekat dengan keilmuan hamba buru ini. Sesekali jika hamba mendapat informasi mengenai projek-projek mereka, hamba tidak akan melepaskan peluang. Seraya hamba meredah sebarang perasaan malu, untuk hamba mengecap setitis hasil daripada peluang yang dimiliki mereka. Walaupun tidak mencukupi untuk menghilangkan haus hamba terhadap bidang ini, namun hamba terpaksa redha memandangkan itulah rezeki sekadar yang diberikan IlahiĀ sehingga saat ini.
Mungkin tidak keterlaluan jika hamba akui yang hamba lebih-lebih lagi amat iri apabila hamba menjumpai kajian-kajian yang dijalankan oleh orang-orang asing yang begitu terperinci dan dibukukan mengenai seni persembahan tradisional Melayu Kelantan. Rujukannya hampir sempurna. Penerangannya sesuai dan mudah difahami. Hamba mohon Ampun kepada Allah sekiranya ketamakan hamba dalam keilmuan ini hampir-hampir membuatkan hamba lupa sejenak bahawa ia masih milik yang Maha Esa. Ilmu ini hanya dikurnia kepada mereka yang Dia kehendaki. Cuma untuk memujuk hati ini, semoga hamba tergolong dalam golongan yang bertuah ini.
Sasaran
Jika ditanya kenapa hamba sanggup bertindak sedemikian? Sesungguhnya hamba tidak akan dapat untuk melestarikan kata menyusun bicara untuk menghuraikan sebab. Cuma hamba mampu berkata bahawa ia adalah ilmu. Bagi hamba, sesuatu ilmu itu adalah wajib dipelajari. Seni persembahan tradisional Kelantan juga sesuatu yang perlu dipelihara. Dikala teman handai yang lain memburu perkara-perkara yang mereka cintai, begitu juga hamba. Kecintaan hamba terhadap ilmu ini hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui.
Seterusnya, hamba tidak mensasarkan ia sebagai satu peluang untuk menjana keuntungan. Hamba tidak pinta sedemikian. Jika sekadar seteguk air dan ucapan terima kasih sebagai upah hamba mempelajari bidang ini, maka itulah rezeki hamba. Hamba turut ucap terima kasih ke atas peluang yang diberikan. Sekadar itu, hamba amat berharap supaya, tiada golongan yang mengambil kesempatan terhadap kasih sayang hamba ke atas seni persembahan ini. Jika demikian, hamba mohon maaf jika adanya tersinggung bicara, terkasar kata.
Doakan hamba berjaya..
by dian
15 comments
link to this post email a friend