Dalam dialek Kelantan. Apabila pengguna dialek menyebut ‘Ggotuh’, umumnya ia akan menggambarkan sesuatu yang kurang pasti. ‘Ggotuh’ yang dirujuk pada awalnya akan disahkan sebaik sahaja pengucapnya mengenal pasti dengan yakin akan subjek/ objek yang diketahui.
Contohnya: “Kita gunakan ‘Ggotuh’ untuk membuka tin.. ” Ggotuh di dalam kes ini ialah Pembuka tin. Mantiknya sedemikian.
Kali ini hamba ingin berkongsi tentang sesuatu yang hamba tidak pasti. Oleh yang demikian hamba akan menggunakan ‘Ggotuh’. Memandangkan penggunaan ‘Ggotuh’ ini adalah meluas dan tidak tertakluk kepada benda hidup atau benda mati, manusia atau binatang, untuk mengecilkan sedikit skop ‘ggotuh’ hamba akan mengisarkan ‘ggotuh’ berdasarkan sifat seorang manusia yang dekat dengan persekitaran hamba. Lebih spesifik ‘Ibu ggotuh’.
Pada awal pertemuan hamba dengan ‘Ibu ggotuh’, hamba senang dengan personalitinya. Dengan sifat yang positif, hamba seringkali bertanya kepada ‘Ibu ggotuh’ mengenai perkara-perkara yang hamba tidak pasti, terutama dalam menyelesaikan tugasan yang penting. Dalam kesibukan, kesesakan dan lambakan tugas seharian, hamba kagum dengan prestasi ‘Ibu ggotuh’ tanpa menganalisa secara lebih kritis mengenai perwatakan ‘Ibu ggotuh’.
Setelah hampir beberapa ketika, sifat ‘Ibu ggotuh’ mulai berubah. Jika ‘Ibu ggotuh’ diibaratkan buahan, maka hamba boleh ibaratkan lebamnya mulai kelihatan. Rugi hamba tidak belek terlebih dahulu. Di sini hamba belajar satu pengajaran iaitu, sesuatu tidak boleh dinilai secara positif secara total. Perlu dibelek. Dinilai semula untuk mendapatkan gambaran sebenar. Lebih adil untuk tindakan seterusnya.
‘Ibu ggotuh’ jarang berjumpa orang. Kadang-kadang mati nafsu untuk bercerita apabila buah fikiran hamba tidak difahami ‘Ibu ggotuh’. Bukan sahaja buah fikiran, namun ‘Ibu ggotuh’ juga tidak memahami ‘nature’ pekerjaan hamba. Tu belum masuk bab minat dan penyakit lagi.
Selain itu, ‘Ibu ggotuh’ bagi hamba agak jumud. Berkira. Kurang bersimpati. Kadangkala gaya cakap tidak bertoleransi. Bagi hamba yang amat tidak suka berdebat dan yang lebih utama mengelak konfrontasi, hamba tidak petah untuk membetah kata-kata dan sifat ‘Ibu ggotuh’. Biarpun jelek dan luak pada perasaan sendiri, namun yang lebih utama tidak mempertikai secara bersemuka.
Pada tafsiran hamba, ‘Ibu ggotuh’ masih lagi tipikal. Dengan sifat yang memang azali menjadi punca masalah di bumi ini. Sejak dari zaman Adam dan Hawa yang jua turut termaktub secara jelas dalam kitab suci Al-Quran. Dengki. Rentetan daripada itu ‘Ibu ggotuh’ bersikap demikian. Sebenarnya, ini bukanlah kali pertama hamba berhadapan dengan fitur ini. Barangkali inilah yang tertera di kanvas nasib hamba. Mahu tak mahu, suka tak suka, hamba kena hadapi ia jua. Rakan-rakan seperjuangan menyuruh hamba dengan suruhan sabar, tabah dan tenang sudah. Malah ia menjadi kalih dan hampir tidak bererti apabila berhadapan dengan situasi ini. Risau jika hamba menjadi dangkal akibat idiosi ‘Ibu ggotuh’.
Jika penjelasan di atas adalah atas peri dan darihal kata-kata ‘Ibu ggotuh’, maka seterusnya hamba ingin mengaitkan dengan sifat komunikasi ‘Ibu ggotuh’. Sebagai seorang yang meminati teknik berkomunikasi dan kaedah berhubungan sesama manusia dengan lebih baik, setiap gerak geri dan mimik ‘Ibu ggotuh’ hamba perhatikan. Hamba cuba andaikan dengan sangkaan yang baik. Walaupun demikian, hamba tidak sama sekali masih tidak boleh menipu diri sendiri. Hamba pasti. Setiap olengan tubuh, eceran jelingan serta tampang randai ‘Ibu ggotuh’ masih lagi dalam jangkauan pengetahuan hamba. Dengan risikan yang tidak bersungguh hamba telah dapat mentafsir dengan tepat akan pendekatan sinis yang cuba disampaikan. Masih jua hamba biarkan.
Oleh yang demikian, ‘Ibu ggotuh’ telah menjadikan hamba tidak selesa duduk dan tidak sesuai berdiri. Jika bersemuka masih bukan caranya apabila tiada perakuan walaupun buktinya jelas, metodologi mana perlu hamba gunakan untuk hamba tangani masalah ini? Jika ia kudis di badan, atau luka yang zahir, maka harus ada ubatnya. Tetapi jika kalbu dan sanubarinya tercedera atau menjadi masyghul kerana perilaku ini layakkah karma menerima putus tali perhubungan? Adilkah hukuman ini hamba berikan? Bagaimana dengan peluang berdamai?
Semoga lekas diberikan Taufik dan Hidayah kepada hamba memecah kebuntuan ini…




Jolo ko ggotu berasal dari perkataan benda itu??
aii.. nak kata tak kena.. sebab mungkin telah di singkatkan daripada ‘Mugo’.. tapi peringkat ambo .. nok cepat2 bekecek.. derah tanya ‘Go nama?’ .. kalu salah tunjuk laa ayah lokan dia tuh hehe.. anak nok belajar tu gak..