Dikir Barat merupakan salah satu persembahan tradisional yang berasal daripada Kelantan. Ia merupakan persembahan muzik gabungan antara instrumental tradisional dan puisi yang dinyanyikan. Ia sangat popular di Kelantan dan ia merupakan sejenis hiburan yang sangat popular di Malaysia pada masa kini.
Bentuk muzik persembahan Dikir Barat ditonjolkan melalui nyanyian pantun bersahut-sahutan antara seorang penyanyi dan sebuah korus. Pada zaman dahulu, Dikir Barat hanya dipelopori dan dianggotai oleh kaum lelaki sahaja namun telah terdapat kini pasukan Dikir Barat yang dianggotai oleh kaum wanita.
Tema yang selalu diketengahkan asalnya melibatkan gaya hidup seharian orang-orang tempatan dengan unsur-unsur lucu. Kini ia telah dikomersilkan dengan memaparkan topik semasa, mengenai ekonomi, politik, kebajikan, kesihatan dan isu sosial.
Loghat utama yang digunakan dalam persembahan Dikir barat adalah loghat Kelantan. Namun demikian, pada masa kini, bahasa yang digunakan tidak terhad termasuk bahasa inggeris, bahasa cina, india, Siam dan sebagainya. Melodi yang dimainkan juga berbagai-bagai daripada bertempo perlahan sehingga lebih rancak.
INSTRUMEN MUZIK UTAMA DIKIR BARAT
Beng dan Matusky, menyatakan muzik Dikir Barat dihasilkan terdiri pelbagai beberapa bahagian rentak dan melodi dalam masa yang sama dipanggil muzik polifonik.. (atau tekstur polifoni). Oleh kerana itu tidak boleh diertikan dengan Dikir Barat sekiranya dimasukkan alat-alat muzik lain selain daripada instrumen-instrumen berikut:
1. Rebana Ibu (selalu disalah ertikan dengan gendang Ibu, atau Gedak Ibu)
2. Rebana Anak (selalu disalah ertikan dengan gendang Anak atau Gedak Anak)
3. Gong (tetawak) – dipalu pada setiap 4 bit.
3. Canang – alat gong ‘Chime’ – terdiri daripada gong kecil berbusut.
4. Marakas atau Rhomba
5. Kesi atau Cing (alat tambahan dan tidak wajib)
DAYA BUNYI
Seperti mana alat-alat muzik membranofon (membrano: kulit dan fon: bunyi), persembahan Dikir Barat dihasilkan oleh gabungan daya bunyi (timbre) melalui paluan atau pukulan oleh pemain rebana (atau Jong Bano) seperti ‘Tak’ ‘Teng’ ‘Duh’ ‘Dung’ ‘Dowk’ ‘Ping’ [*perlu rujukan khusus]. Rentak Rebana Ibu dan Rebana Anak akan meningkah antara satu sama lain dikepalai oleh Rebana Ibu.
CARA PERSEMBAHAN DIKIR BARAT
Dalam persembahan Dikir Barat, ensembel instrumental memperkenalkan sesuatu lagu dengan memainkan dan mengulangi rentak yang pendek dan rancak secara tepukan tangan oleh anggota-anggota korus (Awok-awok) atau dikenali sebagai Bertabuh. Pada kebiasaan, bertabuh akan dimulakan dengan rentak paluan ‘Buka Panggung’ atau ‘Tabuh perlahan’ kemudian disusuli dengan ‘Bertabuh Laju’.
Tok Jora (yang selalu disalah ertikan dengan JUARA) akan mula mengalunkan pantun sebaik sahaja selesai irama ‘Bertabuh’. Alunan pantun ini tidak bermeter, berbunga sederhana (Beng dan Matusky, 1998) dan dalam tempo yang perlahan. Permulaan ini tidak menggunakan iringan muzik. Namun pemain rebana sekali sekala akan melakukan ‘gertak’ pada bait-bait tertentu untuk ‘main angin’ atau membangkitkan semangat para pendikir.
Awok-awok yang merupakan korus sama ada terdiri daripada sekurang-kurangnya 4 orang sehingga 20 orang dalam satu pasukan akan:
- menyanyikan korus secara serentak (unison) dan berselang-selang dengan pantun oleh Tok Jora;
- duduk dalam satu bulatan, secara bersila dan akan menepuk tangan pada kiraan bit ke-4 atau lebih senang diistilahkan ‘Tepuk Atas Gong”; dan
- berteriak secara tajam untuk menguatkan bit-bit tertentu dalam muzik.
Selepas persembahan Tok Jora, seorang Tukang Karut akan berdiri mencipta senikata berbentuk pantun secara spontan sama ada mengenegahkan tema tempatan tertentu berasskan tema pantun Tok Jora atau isu semasa yang lain. Nyanyian Tukang Karut akan diikuti oleh Awok-awok dan tempo akan beransur-ansur menjadi rancak.
Penamat persembahan akan diakhiri dengan lagu penutup sama ada lagu Wau Bulan atau lagu Wau Beremas oleh Tukang Karut.
Nota: Selain daripada ini bagi ambo tidak boleh digelar Dikir Barat. Namun demikian, boleh digelar Dikir Kreatif atau selain daripada Dikir Barat…. Ambo buka untuk dibahas, komen dan diperbaiki… Secara Umum.
Terima kasih
Contoh Persembahan Dikir Barat Asli!
______________
Rujukan:
1. Matusky, Patricia dan Tan Sooi Beng. Pengantar Muzik Malaysia. Pulau Pinang. The Asian Cultural Heritage, 1998.
3. http://dikirbarat.net/forum/index.php
by dian
5 comments
link to this post email a friend