Ambo masih teringat masa ambo berada di zaman persekolahan dari darjah satu sehingga darjah enam di Sekolah Kebangsaan yang berbagai-bagai. Sekolah Cina pun pernah. Masuk sahaja tahun baru, darjah baru, maka cikgu baru akan mulai mengajar ambo dan rakan-rakan sedarjah. Soalan pertama setiap cikgu kepada ambo dan rakan-rakan adalah mengenai nama dan sedikit latar belakang. Itu objektifnya untuk mengenal sapa kami terutama nama.
Bagi memeriahkan majlis dalam darjah, cikgu akan menyelitkan sedikit lawak jenaka dan akan bertanyakan mengenai cita-cita. Menyebut soal cita-cita ambo tidak pernah ada cita-cita yang tinggi semasa ambo dibangku sekolah. Pada zaman sekolah rendah, tambah pula ambo hanya bersekolah kampung, pendedahan terhadap kepelbagaian jenis pekerjaan adalah amat kurang. Sehinggakan ada antara rakan ambo yang tertukar menytakan ingin menjadi ‘Toilet’ walhal beliau ingin menjadi ‘Pilot’ . Sehingga hari ini rakan ambo itu digelar zamri (bukan nama sebenar) ‘toilet’. Amat lucu. Ambo hanyalah ingin menjadi seorang manusia yang boleh tolong orang lain.
Zikir Datuk
Idea nak tolong orang lain timbul daripada Allahyarham Deris bin Majid (datuk ambo) yang seringkali menzikirkan
“mu besar seksok tak payah dok mmikir nok jadi oghe kayo.. biar kita ‘kasit’ harta.. asal kaya budi bicara.. biar ‘kasit’ pitih asal ilmu kita lebih…” (*kasit – kurang)
di telinga ambo. Walaupun ambo tidak berapa rapat dengan arwah, namun itulah yang ambo pakai sehingga hari ini. Arwah atuk walaupun tidak ada pangkat besar, takdok Datuk, Tan Sri serta berpelajaran tinggi, namun di kampung, beliau agak disegani. Banyak orang kampung merujuk kepada beliau mengenai pelbagai perkara sehinggalah beliau tinggalkan kefanaan dunia ini pada tahun 1996. Masa tu ambo di Tingkatan 4 dan cita-cita ambo nak jadi seorang saintis (yang tidak kesampaian).
Masa berlalu, kalendar rumah pun dah semakin canggih. Kalu zaman dahulu rumah ambo kalendarnya ‘besar gajah’. Tulisannya besar, dan menggunakan kertas yang banyak, kini semakin mengecil hinggakan ambo hanya menggunakan kalendar elektronik yang terdapat di komputer peribadi sama ada milik Kerajaan atau milik ambo sendiri. Itu bermakna evolusi teknologi telah berkembang dari semasa ke semasa. Cita-cita ambo pun turut berubah. Jika dulu ambo tidak pasti mengapakah ‘saing-saing’ ambo begitu beria-ia bercita-cita nak menjadi juruterbang, jururawat, juru itu.. juru ini.. kini ambo pasti dan akur bahawa sesetengah karier menjanjikan emolumen yang lumayan dan ada yang paling penting meningkatkan taraf hidup. Pun demikian, tiada seorang pun dari dahulu sehingga kini bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri. Termasuklah ambo.
Hari ini juga, ambo telah banyak bergaul dengan pelbagai khalayak. Tidak mengira peringkat umur dan lapisan masyarakat, ambo telah berjaya kenal dengan ramai orang. Tapi ambo masih lagi suka untuk bertanya mengenai cita-cita. Mungkin cerapan nilai yang cikgu ambo buat masa ambo di bangku sekolah berjaya mempengaruhi ambo untuk menjadikan perkara itu salah satu idea untuk ambo memulakan komunikasi dengan ramai khalayak. Namun demikian, bentuk pertanyaan, gaya bahasa dan metodologi mendapatkan jawapan itu hanyalah ambo yang tahu.
Cita-cita Pembentuk Peribadi
Berdasarkan pengalaman bekerja hampir 3 tahun di sektor swasta dan hampir 5 tahun di sektor Kerajaan, ambo dapat perhatikan bahawa cita-cita seseorang menentukan keperibadian beliau. Terlalu tinggi sehinggakan sanggup makan kawan, tikam belakang, hilang hormat, kepercayaan dan bermuka-muka dalam kehidupan seharian. Cita-cita yang terlalu rendah menyebabkan beliau tidak dapat menunjukkan prestasi yang terbaik yang diharapkan oleh sesuatu organisasi dan akhirnya merugikan organisasi yang dianggotai.
Sebenarnya, cita-cita harus diselaraskan dengan praktikaliti atau realiti semasa. Seorang pegawai Kerajaan seperti ambo tidak boleh bercita-cita untuk menjadi manusia terkaya di dunia dalam masa singkat. Ini berikutan ambo perlu melihat semula proses menjana kekayaan itu sama ada sesuai, bertepatan, halal dari segi syarak dan undang-undang pentadbiran dan sebagainya. Akhir sekali kena juga berharap kepada rezeki kurniaan Yang Maha Memberi Rezeki.
Ramai hari ini kurang faham akan proses mengejar cita-cita. Masing-masing ambo perhati seolah-olah pokok-pokok di hutan rimba yang tidak berakal bersaing sesama sendiri hanya untuk mendapatkan cahaya matahari bagi kehidupan seharian. Undang-undang rimba tidak lagi terpakai dalam dunia hari ini. Namun demikian itulah realiti yang terjadi.
Ambo yang hanya bercita-cita untuk menolong orang lain seperti mana yang telah dipesan oleh Arwah datuk deris tidak mampu untuk memikirkan untuk berada di takhta yang Maha Mulia. Ambo tahu ambo tidak layak. Ada halangan yang sememangnya tidak akan ambo mampu tempuhi. Kini cita-cita ambo hanyalah sekadar untuk mendapatkan kehidupan yang tenang di dunia dan jika diizinkan Allah taala ambo nak mendapatkan kehidupan yang baik di tempat yang “Abadan Abadaa”. Insya Allah.
Sapa-sapa yang dapat rezeki yang lebih baik daripada ambo, ambo turut bersyukur dan tumpang bahagia. Kalu tak dapat atau belum dapat tu maknanya ada yang lebih baik daripada apa yang demo/ambo mintak. Cuma apa yang ambo harapkan. Demo ingatlah bahawa demo naik tu kerana siapa dan kerana apa? Jangan jadi kacang lupa kulit pulak. Haa gituh…
Okeh beres?
http://dianais.com
by dian
4 comments
link to this post email a friend