Form submitted successfully, thank you.

Error submitting form, please try again.

BERSYUKUR

Tiba-tiba terpanggil hati ini untuk membuat sedikit catatan mengenai kesyukuran. Catatan ini sekadar catatan atau log peribadi. Tiada niat untuk menjadi mufti, lebai, imam, ustaz yang berleluasa di dunia maya hari ini, mahupun menjadi ulamak muktabar. Bukan sedemikian.

Amba masih ingat pengalaman mula-mula menjejak dunia kosmopolitan untuk mencari rezeki.

Amba menghela nafas dan terus berdoa di dalam hati untuk memohon ampun kerana mungkin amba begitu jarang dan alpa untuk mengucapkan syukur kepada Allah taala. Dalam pada itu terkadang mungkin wujudnya riak dan merasa takjub kepada diri sendiri tanpa sedar, atas rezeki yang telah diberikan.

Bertitik tolak daripada dilantik sebagai pekerja kontrak untuk menukar selak dan  kunci pintu di Desasiswa Aman Damai, USM, Pulau Pinang, kemudian bekerja di dapur hospital pulau pinang, dapur-dapur hotel sekitar utara semenanjung Malaysia, tak dapat amba nafikan bahawa pejabat amba hari ini ada ‘air cond’.

Dahulunya amba terpaksa bangkit setiap hari mulai jam 3.30 pagi, sekali sekala, menyorong motorsikal buruk di batu uban ke georgetown kerana tiada wang untuk mengisi petrol. Jauh sekali jika nak dibandingkan dengan persekitaran dan pemandangan pejabat di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutauan pada hari ini.

Amba susul pula dengan beristighfar beberapa kali dan sempat mengimbas kembali maki hamun, penat jerih, cerca cela, cemuh nista dan perkara-perkara yang telah berlaku termasuk dizalimi oleh majikan-majikan terdahulu. Pada masa itu, amba hanya mampu pujuk diri sendiri bahawa laut tidak selalu bergelora. Hanya kesabaran yang menjadi kemudi untuk meneruskan pelayaran hidup ini.

Namun, itulah perbandingan dulu dan hari ini.

Hari ini amba tersenyum sahaja bila mana terpandang, terbaca ‘isi hati’, ‘luahan rasa’, dan ‘kegusaran’ mereka yang amba kenal, akan siapakah yang akan menggantikan siapa hari ini.  Di situ amba sedar seolah-olah dah nampak, adanya sifat berlumba-lumba dalam mengejar status. Siapakah yang akan jadi terhebat dan terbaik.

Bagi diri amba, amba tidak kisah tentang siapa yang terhebat dan terbaik. Kerana ia adalah satu ‘pilihan’ bukanlah ‘kewajipan’. Sudah ada jalan dan ketetapan yang ditentukan. Cukuplah sekadar amba mampu menyara diri dan keluarga, ada simpanan (bekalan) dan selebihnya boleh menyumbang kepada mereka yang  memerlukan. Insya Allah.

Dari itu, amba berdoa untuk  terus dikekalkan dalam kalangan orang-orang yang tidak merasa tercabar dan pelik dengan pangkat yang tinggi, kuasa yang besar serta pendapatan yang besar.

Akhir kata, amba mohon untuk berusaha menjadi orang yang lebih bersyukur dan untuk terus bekerja tanpa putus asa. Lebih baik menjadi biasa dan tidak hebat, berbanding kaya, hebat tetapi tidak bersyukur.

Wallahua’lam.

 

14/05/2012 - 9:01 am dian - saya setuju.. :D terima kasih..

13/05/2012 - 10:42 am Teddy - Kebahagiaan itu x dpt dinilai melalui wang, pangkat, isteri cantik atau kereta mewah. Bahagia itu hak Allah semata mata hadiah kpd hambaNya yg beriman. Mcm pepatah Melayu lama, "tuah ayam nampak dikaki, tuah manusia siapa yg tahu". Begitu hebat org lama bermadah...

Your email is never published or shared. Required fields are marked *

*

*